Kesesakan zon motosikal di ICQ akibat gangguan sistem M-Bike - JIM Malaysia

Bernama
Mac 4, 2024 16:05 MYT
Ruslin berkata insiden gangguan sistem berkenaan, berlaku disebabkan oleh kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu, yang dilantik bermula 29 Feb lepas. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Kesesakan luar biasa yang berlaku di Zon Motosikal Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di sini, disebabkan masalah gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dankeluar.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata insiden gangguan sistem berkenaan, berlaku disebabkan oleh kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu, yang dilantik bermula 29 Feb lepas.
"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum mengenai kesesakan luar biasa, yang berlaku di zon Motosikal ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.
"Pihak syarikat pengendali dan JIM sedang mengambil tindakan drastik bagi mengatasi gangguan ini, dan gangguan dijangka dapat diatasi dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan motosikal, JIM telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum, bagi membolehkan pemeriksaan di Zon Motosikal dilakukan secara manual, sehingga isu gangguan sistem diatasi.
Beliau berkata JIM komited melakukan yang terbaik bagi memastikan masalah gangguan ini dapat dipulihkan dengan kadar segera, sekali gus menafikan berita yang tular mengenai dakwaan penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan 'orang atasan'.
"JIM menafikan berita tular itu, sebaliknya syarikat pengendali terdahulu telah tamat tempoh kontraknya dan lantikan syarikat pengendali baharu telah dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang berkuat kuasa. Justeru, orang ramai diseru supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan," katanya.
-- BERNAMA
#gangguan sistem #luar biasa #syarikat pengendali #konfigurasi sistem