PUTRAJAYA: Ketiadaan integriti apabila mempunyai kuasa dan peluang merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki.

Berkongsi statistik SPRM, Azam berkata, penjawat awam secara umumnya adalah kumpulan yang paling ramai ditangkap kerana rasuah dan setiap tahun, hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM melibatkan penjawat awam.

"Perkara ini amat menyedihkan saya," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.

Azam berkata, rasuah dalam perkhidmatan awam mesti dihentikan, demi meningkatkan imej dan beliau turut memberi amaran yang SPRM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa dengan tindakan tegas diambil tanpa mengira siapa.

Beliau berkata sekiranya kesalahan dilakukan oleh pegawai SPRM, beliau akan pastikan tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka dan perkara tersebut telah dilakukan pada kes-kes yang lepas.

Dalam pada itu Azam berkata, perbuatan tidak melaporkan tawaran, pemberian, permintaan atau penerimaan rasuah, merupakan satu kesalahan menurut Seksyen 25(2) dan Seksyen 25(4) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara atau didenda sekiranya didapati bersalah.

"Peruntukan undang-undang ini bukan retorik atau sekadar menakut-nakutkan masyarakat. SPRM telah mendakwa beberapa individu kerana gagal melaporkan tawaran rasuah kepada SPRM," katanya yang menyanjungi mereka yang mempamerkan integriti, dengan melaporkan tawaran atau penerimaan rasuah.

Menurutnya, kerajaan juga menghargai penjawat awam yang menolak rasuah dan melaporkan kepada SPRM, yang dicerminkan melalui pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 11 Mei 2011 bertajuk 'Garis Panduan Pengiktirafan Kepada Penjawat Awam yang Melaporkan Pemberian atau Penerimaan Rasuah'.

"Dengan objektif menggalakkan penjawat awam melaporkan rasuah dan mengiktiraf penjawat awam yang memperlihatkan etika dan integriti dalam menangani rasuah, melalui pekeliling itu, penjawat awam yang melaporkan rasuah layak menerima pengiktirafan dan ganjaran kewangan daripada kerajaan," katanya.

Menurut Azam, seramai 406 penjawat awam telah menerima pengiktirafan itu dan jumlah ganjaran yang telah diberi kepada penjawat awam terbabit adalah RM813,806.

Sementara itu, Azam berkata pelan tindakan dalam OACP KBS yang dilancarkan hari ini adalah bukti dan penzahiran komitmen kepimpinan KBS, dalam mengukuhkan integriti warganya.

"Warga KBS perlu berbangga kerana OACP ini dibangunkan oleh pegawai KBS dan agensi-agensi di bawah KBS sendiri. Peranan SPRM hanya memberi panduan kepada penyediaan OACP ini," katanya.

Menurut Azam, berdasarkan rekod SPRM sejak 2016 hingga 30 Sept lepas, seramai 27 individu dari KBS dan agensi-agensi di bawahnya telah ditangkap kerana kesalahan rasuah, dimana 74 peratus daripadanya atau 20 tangkapan adalah disebabkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melancarkan OACP KBS itu, yang merupakan satu dokumen dasar anti rasuah di peringkat organisasi, yang bertujuan menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan rasuah.

-- BERNAMA