KUALA LUMPUR: Ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan warga Sarawak menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan kes mendadak di negeri itu pada Ahad.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, ia ditambah dengan penularan varian Delta yang lebih mudah merebak.

‘’Saringan besar-besaran telah dibuat bukan sahaja dalam kalangan kontak rapat tetapi semua kontak (berkaitan kes positif COVID-19) juga telah disaring.

“Di samping itu, maklumat yang saya perolehi dari lapangan sejak beberapa minggu lalu didapati kepatuhan SOP di sebahagian tempat di negeri Sarawak tidak begitu baik menyebabkan berlakunya tularan yang agak meluas di peringkat komuniti,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Pengesanan kontak rapat, 'backlog' punca peningkatan kes COVID-19 di Sarawak

BACA: COVID-19: 19,198 kes baharu hari ini, Sarawak rekod 5,291 kes baharu

Selain itu, mengulas mengenai kemungkinan peningkatan angka kes positif disebabkan ketidakberkesanan vaksin COVID-19, Dr Malina sebaliknya berpendapat kesimpulan itu perlu disokong dengan data sepatutnya.

‘’Selagi tidak mempunyai data yang sepatutnya sebab dari segi perkhidmatan kesihatan hospital tidak banyak terjejas, kerana keadaan di Sarawak sama sekali berbeza dengan keadaan di Lembah Klang dari aspek lonjakan kes.

‘’Kita dapati perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang (semasa lonjakan kes) terkesan tetapi tidak di Sarawak tidak terkesan kerana 99 peratus adalah kes-kes yang ringan dan tidak bergejala.

‘’Jadi kita lihat di situ untuk menyimpulkan vaksin mungkin tidak berkesan, pada pandangan saya, kita tidak boleh menyimpulkan situasi itu selagi mana kita tidak mempunyai data-data yang terarah kepada kesimpulan berkenaan,’’ tambahnya.


Memahami punca peningkatan kes positif di Sarawak

Sarawak pada Ahad merekodkan peningkatan kes tertinggi di seluruh negara dengan 5,129 kes sekali gus merupakan kes tertinggi di negeri itu sejak penularan COVID-19 bermula tahun lalu.

Bagaimanapun, 99.9 peratus daripada angka keseluruhan kes yang direkodkan merupakan kes kategori satu dan dua.