PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merancang untuk memperkenalkan program baharu bagi memenuhi permintaan tenaga boleh baharu yang semakin meningkat dalam sektor korporat untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menterinya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ini adalah selari dengan agenda negara untuk menangani perubahan iklim dan memenuhi permintaan tenaga selain daripada mengurangkan pelepasan karbon.

Beliau berkata Malaysia juga melaksanakan langkah pengurangan kritikal bagi menambah baik keberkesanan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dan meningkatkan keupayaan tenaga boleh baharu dalam adunan tenaganya.

Buat masa ini, katanya kira-kira lima peratus daripada adunan tenaga Malaysia adalah menerusi sumber tenaga boleh baharu kerana penjanaan tenaga negara masih lagi banyak bergantung kepada sumber bahan api fosil.

"Justeru, ini memerlukan proses peralihan tenaga yang mana sumber tenaga yang boleh baharu, lebih efisien, bersih digunakan untuk menggantikan bahan api fosil," kata beliau dalam ucapannya pada Forum Antarabangsa Mengenai Landskap Tenaga Sejagat (IFGE 2021) anjuran Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dekat sini, pada Selasa.

Takiyudin berkata kerajaan juga komited untuk meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu menerusi Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039.

-- BERNAMA