Seorang pegawai kanan polis maut selepas kereta peronda yang dinaiki bersama dua anggotanya terbabas lalu terbalik di lampu isyarat Arkib Negara, di Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi tadi, mangsa, Asisten Superintendan Aldrin anak Gonda, 38, yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan di bahagian kepala.

Bagaimanapun, dua lagi anggota, Konstabel Abdul Hafizal Duim, 26, yang memandu kereta itu dan rakannya, Konstabel Muhammaf Fikri Zulkipli, 26, yang duduk di tempat duduk belakang masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kedua belah kaki.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, ketika kejadian, pegawai dan anggotanya sedang dalam perjalanan dalam Ops COVID-19 untuk menangkap suspek di Pantai Johor.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta peronda dinaiki mangsa cuba mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan jalan.

Akibat daripada itu kereta peronda polis yang dinaiki ketiga-tiga mangsa hilang kawalan terbabas melanggar pembahagi jalan lalu terbalik.

Jelas, Mohd Rozi akibat kemalangan itu pegawai kanannya tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Sekarang kita tengah mengesan motosikal tersebut sebab (kejadian) berlaku sangat pantas dan ada saksi melihat satu motosikal membelok daripada kiri ke kanan dan hilang selepas kejadian itu berlaku," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.