Ketua Pemuda MIC T.Mohan tidak melobi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan akan menyokong sesiapa saja yang dipilih sebagai calon.

Mohan berkata terpulanglah kepada presiden parti Datuk Seri G Palanivel untuk menentukan sama ada beliau patut bertanding pada pilihan raya itu.

"Malah, saya tidak mencalonkan nama saya dalam senarai calon berpotensi yang dikemukakan Pemuda MIC kepada presiden parti.

"Saya namakan 12 orang daripada sayap Pemuda untuk ditimbang sebagai calon. Mereka terdiri daripada profesional yang mesra orang ramai," katanya selepas mengunjungi keluarga A Hemavathi, remaja yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Seksyen 24 di sini Rabu.

Mohan berkata Pemuda MIC menyuarakan hasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi pada PRU-13.

Pemuda MIC diperuntukkan dua kerusi parlimen dan tiga kerusi negeri pada PRU lepas, tetapi hanya memenangi kerusi negeri Gambir dan Kahang di Johor.

Mohan yang bertanding bagi kerusi negeri Batu Caves, kalah pada pilihan raya itu. Calon daripada Pemuda MIC juga kalah bagi kerusi parlimen Subang dan Kota Raja.

Mengulas tentang manifesto pilihan raya pembangkang yang dilancarkan pada Isnin, Mohan berkata ia tidak mengandungi rancangan untuk memajukan masyarakat India.

Mengenai kunjungan beliau ke rumah Hemavathi, Mohan berkata Pemuda MIC memohon kerjasama orang ramai untuk mencari remaja perempuan berusia 13 tahun itu, yang dilaporkan hilang sejak 20 Feb.

Katanya Pemuda MIC menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat hingga terjumpanya remaja berkenaan, yang disifatkan sebagai pelajar lembam.

Emak remaja itu, Santhi Murugan, 34, berkata dia menyedari kehilangan anaknya apabila pulang ke rumah untuk makan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.