KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 12 Dis 2022.

Penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Menurut kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [Akta 227].

Peruntukan tersebut membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

"Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

"Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

"Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai," kata Mohd Zuki.

BACA: KPPA ditamatkan perkhidmatan? 

PANTAU KERAJAAN BAHARU DI SINI

Terdahulu, tular di media sosial surat bertarikh 1 Dis yang ditandatangani Mohd Zuki, menyatakan Mohd Shafiq ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Isnin. 

Menerusi surat itu, dinyatakan bahawa kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan beliau demi kepentingan awam.