KUALA LUMPUR : Keuntungan bersih RHB Bank Berhad (RHB Bank) susut 18.1 peratus kepada RM2.03 bilion bagi  tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

RHB Bank memaklumkan, penurunan itu adalah  disebabkan kerugian pengubahsuaian bersih berikutan pemberian moratorium kepada pelanggan dan kerugian kredit (ECL) lebih tinggi.

Pendapatan turut merosot kepada RM12.59 bilion daripada RM13.53 bilion,  sebelumnya.

Namun Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi dan pendapatan berasaskan bukan dana membantu mengimbangi pengurangan keuntungan dalam tempoh itu. 

"Pendapatan berasaskan dana bersih menyaksikan peningkatan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun kepada RM5.3 bilion yang didorong oleh pengurusan kos pembiayaan yang proaktif yang turun sebanyak 23.8 peratus tahun ke tahun serta disokong portfolio akaun semasa dan simpanan (CASA) sepanjang tahun 2019 dan 2020," katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 RHB Bank secara maya, di sini pada Jumaat.

Khairussaleh turut menjelaskan, jumlah aset kumpulan itu meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Disember 2019 kepada RM271.1 bilion pada 31 Disember 2020, yang disebabkan peningkatan pinjaman, pembiayaan dan portfolio sekuriti.

Katanya, RHB kekal berhemat dan terus mengadakan peruntukan kecemasan bagi menangani sebarang kesan buruk yang berpotensi ke atas kualiti aset berikutan pandemik COVID-19.. 

"Hasilnya, ECL meningkat ketara kepada RM1.14 bilion daripada RM275.8 juta manakala nisbah caj kredit tahun penuh bertambah kepada 0.58 peratus berbanding 0.18 peratus yang dicatatkan pada tahun lepas," ujarnya. 

Beliau juga menjangkakan tahun 2021 akan terus memberi cabaran ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi impak kepada perjalanan ekonomi negara.

"Di peringkat antarabangsa, kerajaan dan bank pusat bersama-sama mengambil langkah-langkah komprehensif daripada kesan langsung ke atas ekonomi ekoran pandemik," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa RHB Bank akan  terus menyokong pelanggannya terutamanya daripada golongan B40 menerusi pembayaran bersasar yang dilaksanakan sehingga 30 Jun ini.

"Kami akan bersama-sama pelanggan untuk melalui tempoh yang sukar ini," tambahnya lagi.