KUALA LUMPUR: Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion, untuk tahun kewangan berakhir 2020, berbanding keuntungan bersih RM40.5 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, jika tidak termasuk rosot nilai, syarikat multinasional itu mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM10.5 bilion, penurunan sebanyak 78 peratus berbanding RM48.8 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, nilai tersebut dicapai selepas diimbangi kos keseluruhan kumpulan yang lebih rendah.

Pendapatan keseluruhan kumpulan pula adalah sebanyak RM178.7 bilion, berbanding RM240.3 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya, ekoran kesan kejatuhan harga minyak mentah yang menyaksikan purata lebih rendah harga realisasi untuk semua produk.

Selain itu, Tengku Muhammad Taufik berkata, ia juga disebabkan gangguan pada permintaan ekoran nilai jualan rendah bagi gas yang diproses, produk petroleum, serta cecair gas asli.

“Petronas telah menangani kedua-dua krisis (ketidakstabilan harga minyak mentah dan pandemik COVID-19) ini dengan tindakan yang berhati-hati dan wajar, bagi meminimakan impak, serta memastikan pelan pemulihan dapat berjalan lancar.

“Tanda-tanda awal pandemik telah dirasai pada awal suku kedua 2020, dan Petronas juga tidak terlepas. Kumpulan Petronas terpaksa mengharungi gangguan operasi serta perubahan bekalan, gangguan permintaan, serta perubahan keadan masyarakat untuk meminimakan kesan krisis tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Keputusan Kewangan Kumpulan Petronas bagi tahun 2020, secara dalam talian, hari ini.

Biarpun keuntungan selepas cukai menurun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan atau EBITDA Kumpulan Petronas kekal kukuh pada RM55.3 bilion ringgit.

Selain itu, syarikat itu juga mencatatkan aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) yang positif, iaitu RM40.7 bilion, membolehkan ia menepati sasaran pelaburan kapital kumpulan (CAPEX) sebanyak RM33.4 bilion.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas masih mampu untuk mengekalkan tahap kecairan yang sihat, sekaligus memastikan kelangsungan perniagaannya.