Institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong adalah kedaulatan negara dengan kedudukan dan peranannya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu disokong dan didukung oleh kerajaan serta rakyat.

Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata perubahan kerajaan, susulan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas, tidak memberi kesan dari segi peranan, fungsi dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Peralihan kerajaan itu menyaksikan Sultan Muhammad V mencatat sejarah tersendiri dengan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang pertama memerintah dalam era dua kerajaan berbeza.

Semasa dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 13 Dis 2016, kerajaan ketika itu diterajui oleh Barisan Nasional dan pada 10 Mei lepas, kepimpinan negara diambil alih oleh Pakatan Harapan yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Parlimen ke-14 pada 17 Julai lepas, Seri Paduka bertitah mengalu-alukan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan dalam menegakkan ketelusan terutamanya dengan mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar serta mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat bagi menangani kos sara hidup.

ADAPTASI PERUBAHAN

Pada Jun lepas, Sultan Muhammad V memperkenankan supaya peruntukan gaji dan emolumen Yang di-Pertuan Agong dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahan sehingga 2021 berikutan keprihatinan Seri Paduka terhadap tahap hutang dan keadaan ekonomi negara.

Seri Paduka turut menitahkan supaya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini tidak diadakan di Istana Negara dengan peruntukan majlis itu digunakan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Ahad ini, Sultan Muhammad V menitahkan pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang dijadualkan di Istana Negara pada hari berkenaan.

Seri Paduka menitahkan supaya peruntukan perbelanjaan kedua-dua acara rasmi itu dikembalikan semula kepada pihak kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Syamrahayu berkata beberapa adaptasi yang diperkenankan Sultan Muhammad V dilihat seiring pentadbiran kerajaan semasa.

Secara umumnya, beliau melihat peralihan kerajaan sedikit sebanyak menyebabkan institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong perlu melihat kepada perkembangan politik selaras dengan pentadbiran kerajaan itu sendiri.

"Ini dapat dilihat daripada perkenan Seri Paduka supaya tidak diadakan Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan serta pembatalan Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja," katanya.

Beliau berkata ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk sama-sama berganding bahu merealisasikan Malaysia Baharu.

Pada masa sama, beliau berpendapat Yang di-Pertuan Agong bukanlah menzahirkan sokongan institusi raja kepada mana-mana parti politik sebaliknya memperkenankan pembatalan acara-acara itu bagi menghormati pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat melalui proses pilihan raya.

"...pada saya ia menunjukkan sinergi antara raja dan kerajaan. Jika mahu melihat hubungan antara intitusi beraja dengan kerajaan, saya fikir tindakan sebegitulah yang menunjukkan keprihatinan institusi beraja kepada kerajaan.

"Bukanlah bermakna menyokong dari segi pendirian politik tetapi untuk perkara yang mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara," jelasnya.

KEDAULATAN DAN IDENTITI NEGARA

Pada masa sama, Syamrahayu menekankan bahawa Yang di-Pertuan Agong bukanlah hanya simbol semata-mata, sebaliknya mempunyai peranan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

"Ia melambangkan kedaulatan dan identiti negara. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memudahkan, membolehkan dan memastikan institusi raja dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang didukung dengan sewajarnya," katanya.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim pula berpendapat titah perkenan Sultan Muhammad V berhubung pemotongan gaji dan emolumen serta beberapa acara rasmi Seri Paduka adalah selaras dengan hala tuju kerajaan.

"Sesiapa sahaja yang mengetuai kerajaan, itulah kerajaan Seri Paduka... baginda perlu menjurus kepada kerajaan itu waima siapa pun yang memerintah.

"Isu seseorang Yang di-Pertuan Agong tidak menyokong sesuatu kerajaan tidak timbul sama sekali. Seri Paduka tidak terlibat dengan politik, lunas Seri Paduka hanyalah Perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, Rais meminta kerajaan supaya memperbanyakkan usaha untuk mendidik generasi muda supaya menghormati institusi raja yang diterajui Yang di-Pertuan Agong.

"Generasi muda kurang diberi pendedahan, bimbingan dan nasihat mengenai fungsinya (institusi raja) sedangkan ia amat mustahak dalam struktur pemerintahan negara."Ada yang bercakap sambil lewa, menggunakan bahasa yang jelek dan tidak menghormati institusi raja," katanya.

--------------------------------------------------

MENGENALI SULTAN MUHAMMAD V

Sultan Muhammad V dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa pada 13 Dis 2016.

Seri Paduka, yang diputerakan pada 6 Okt 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan, merupakan anakanda sulung Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Tengku Muhammad Faris Petra, 49, menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29 pada 13 Sept 2010.

Seri Paduka mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, 44, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 40, dan Tengku Amalin A'ishah Putri, 34.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur, Seri Paduka dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan ke-16 pada 6 Okt 1985.

Seri Paduka kemudian menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan mengikuti jurusan Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Pada 24 Mei 2009, Seri Paduka dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan dan menaiki takhta Negeri Kelantan dengan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V.

Pada 13 Dis 2011, Seri Paduka dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-15 oleh Majlis Raja-Raja.

Sultan Muhammad V, yang amat mementingkan pendidikan, juga merupakan Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam bidang ketenteraan, kepimpinan Seri Paduka sentiasa dikagumi ramai. Sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini.

Selain melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan serta aktif dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan, Seri Paduka amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda, ekuestrian, sukan memanah, menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

-- BERNAMA