KUCHING: Dana Kekayaan Berdaulat akan dilaksanakan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberi mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan terus mampu bertahan dengan dananya tersendiri apabila wujudnya Dana Kekayaan Berdaulat kelak.

Katanya, dana ini akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada persidangan DUN akan datang.

“Orang tidak percaya Sarawak dapat bangunkan ini (jambatan), saya ada modal saya sendiri, saya ada cara saya sendiri.

“Sebab itu pentingnya ada dana alternatif, seperti yang akan saya lakukan kelak, sekiranya GPS akan diberikan mandat lagi, saya ada cara untuk kita simpan duit untuk masa depan anak-anak kita, saya akan tubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat.

“Perkara ini akan dibawakan ke DUN untuk masa depan anak cucu kita kelak,” katanya ketika Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Projek Jalan Raya Utama Kedua Kuching-Samarahan pada Ahad.

Tambahnya, sekiranya negeri Sarawak kehabisan minyak ataupun sumber lain, dana ini akan menjadi sumber alternatif untuk menampung pembangunan Sarawak.

“Kalau minyak dah habis, kita ada pendapatan daripada dana ini, dan tidak akan muflis.

“Sebelum ini mereka (Pembangkang) pernah kata kalau Sarawak dibawah pemerintahan Abang Jo mesti akan muflis, tapi kalau kita lihat hari ini, jambatan pun kita buat, jauh sekali kita nak muflis,” katanya.

Terdahulu, Abang Jo berkata telah ada Kajian dijalankan mengenai pelaksanaan dana tersebut dengan mencontohi mekanisme yang digunapakai oleh negara Norway, dimana dana kekayaan negara itu dilapor kini bernilai US$1.4 trilion.

BACA: Kerajaan Sarawak rancang perkenal Dana Kekayaan Berdaulat

Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Projek Jalan Raya Utama Kedua Kuching-Samarahan ini merupakan salah satu laluan yang akan menghubung jalan pesisir pantai sepajangan negeri Sarawak.

Kos perbelanjaan untuk semua projek itu dianggar sebanyak RM11 bilion, yang dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2026.