PUTRAJAYA : Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mempersoalkan bukti dan saksi pendakwaan dalam kes melibatkan SRC International Sdn Bhd di sini pada Rabu.

Peguam, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Rayuan di sini bahawa bukti daripada saksi ke-49 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YAR1M), Ung Su Ling adalah "khabar angin yang tidak boleh diterima".

Dalam prosiding pada Rabu, Harvinderjit berkata, arahan pada Disember 2014 dan Februari 2015, kononnya datang daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias kepada Su Ling tidak pernah dihasilkan.

Malah, pihak terlibat juga mengakui mesej arahan daripada aplikasi WhatsApp itu sudah dipadam.

"Tiada dokumen utama (telefon bimbit) atau apa saja dokumen sekunder yang boleh diterima telah dihasilkan dan menunjukkan mesej WhatsApp itu datang daripada telefon bimbit.

"Ini adalah ‘khabar angin kedua’ kerana kes pendakwaan bergantung pada keterangan PW49 (Su Ling) mengenai kandungan dua mesej WhatsApp (kononnya daripada Datuk Azlin ke PW49 yang mengandungi perincian akaun Najib).

"Ia adalah  untuk membuktikan bahawa butiran mengenai akaun Najib dimaklumkan kepada PW49 oleh Datuk Azlin," katanya dalam prosiding tersebut.

Harvinderjit mengatakan bahawa dalam pemeriksaan balas semasa perbicaraan, Su Ling berkata, dia telah memadam mesej dan membuang telefonnya kerana dia ingin "menghapuskan ingatan yang menyakitkan".

Peguam itu pula memaklumkan, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali bergantung kepada bukti perbualan Su Ling dengan Azlin untuk menghubungkan Najib dengan pertuduhan.

Perbicaraan pada Rabu berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat.

Untuk rekod, pasukan pembelaan Najib sebelum ini juga pernah mempersoalkan saksi pendakwaan ke-42, bekas Pengarah SRC International, Datuk Suboh Md Yasin yang didakwa telah memberikan keterangan yang bercanggah pada perbicaraan kes itu.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Selasa berkata, Suboh telah memberikan lima keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.