PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud sah ditukarkan ke sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa hari ini.

Ia selepas jabatan itu mengadakan majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen Malaysia di ibu pejabat jabatan itu, dekat sini jam 5 petang pada Rabu.

Difahamkan beliau akan melaporkan diri ke bahagian itu pada Isnin depan.

Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) kini disandang oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

Kedudukan Khairul Dzaimee menjadi tanda tanya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan Ruslin sebagai Ketua Pengarah Imigresen dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada pagi tadi. - Sinar Harian