KUALA LUMPUR:Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai isu pembelian vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer Inc sebelum ini diperbetulkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menteri, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan memaklumkan, oleh kerana kenyataan itu tidak ditarik balik dan telah dikongsi secara meluas, pihaknya perlu memberi maklum balas secara rasmi.

“Selepas mendapat pengesahan daripada pejabat beliau (Tengku Razaleigh), saya dimaklumkan kenyataan itu tidak dikeluarkan secara rasmi tetapi datang dari beliau sendiri.

"Memandangkan kenyataan berkenaan tidak ditarik balik, dikongsi secara meluas, dipetik media dan turut dirujuk dalam perbahasan di Parlimen, saya anggap ia adalah isu awam dan perlu ada reaksi balas.

"Saya tidak pasti dari mana beliau memetik nombor berkenaan, tetapi ia langsung tidak berasas," jelas Khairy dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Bercakap mengenai persoalan keupayaan Malaysia yang juga diragui bagi proses penyimpanan vaksin yang memerlukan suhu ultra sejuk, Khairy berkata, pihaknya mengenal pasti kemudahan peti sejuk beku di seluruh negara dengan suhu -80 darjah Celsius.

“Misalnya, universiti awam dan institusi kajian awam mempunyai lebih daripada 125 peti beku ultra sejuk.

"Sekiranya ia tidak boleh dipindahkan, kementerian akan aturkan bagi pembekalan peti sejuk beku tambahan," katanya.

BACA: COVID-19: Isu dibangkitkan Ku Li tidak berasas, tidak benar - Khairy 

BACA: Vaksin COVID-19: Banyak persoalan mengenai Pfizer yang tidak terjawab - Ku Li 

Pada masa sama, Khairy menegaskan bahawa kebanyakan tuduhan dibuat Ahli Parlimen Gua Musang itu mengandungi fakta salah, sekali gus memerlukan ia dijawab secara terperinci.

"Ku Li (Tengku Razaleigh) dalam kenyataan dikeluarkan berkata, rundingan dengan Pfizer menelan belanja RM3 bilion iaitu RM2 bilion untuk vaksin dan RM1 bilion untuk kos pengangkutan dan penyimpanan, sehingga menjadikan harga bagi satu dos RM234.

"Dakwaan ini tidak masuk akal. Walaupun saya tidak dapat menyatakan harga tepat untuk vaksin Pfizer memandangkan terikat dengan perjanjian, perkara ini sudah disebut sebelum ini dalam jawapan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu, bahawa kosnya jauh lebih rendah iaitu kurang daripada RM100 setiap dos dan ia merangkumi kos penghantaran,” jelasnya lagi.

Beliau turut menegaskan kerajaan memandang serius isu keselamatan vaksin dan atas dasar itu, ujian klinikal dibuat secara berperingkat bagi memastikan ia bukan sahaja berkesan tetapi selamat digunakan.

"Lebih banyak maklumat akan diperoleh dalam tempoh ujian fasa klinikal ini berlangsung. Berdasarkan data yang dikongsi menunjukkan vaksin ini berkembang dengan sangat efektif untuk mencegah penyakit.

"Perkara ini penting kerana objektif pertama bagi strategi vaksinasi adalah memastikan lebih ramai tidak dijangkiti atau meninggal dunia disebabkan COVID-19," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy turut menjawab dakwaan Tengku Razaleigh yang memetik pandangan pakar iaitu bekas Naib Presiden Pfizer, Dr Mike Yeadon, dengan mengaitkan penggunaan vaksin sebagai tidak selamat.

"Sekiranya kita bergantung kepada imuniti semula jadi, ini bermakna lebih ramai individu akan jatuh sakit. Ini memberi implikasi kepada sistem penjagaan kesihatan yang mungkin perlu menampung jumlah pesakit melebihi kemampuan.

"Walaupun kapasiti kita setakat ini mencukupi untuk mengawal kes positif COVID-19 ketika ini, kerajaan mesti cuba melakukan yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada diserang penyakit dan risiko kehilangan nyawa," katanya.

Terdahulu, Tengku Razaleigh membangkitkan persoalan mengenai peruntukan kerajaan untuk memperoleh, menyimpan dan menggunakan vaksin COVID-19 Pfizer Inc hanya mencukupi untuk 20 peratus sahaja populasi rakyat Malaysia.

BACA: KKM nafi vaksin keluaran China tidak selamat