Khidmat guaman syarie percuma bagi individu pendapatan RM3,000 ke bawah di Selangor

Bernama
Ogos 3, 2022 11:34 MYT
Penyelesaian kes kekeluargaan melalui bantuan guaman itu selaras dengan peranannya untuk menyantuni golongan yang memerlukan. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengubah syarat kelayakan berkaitan jumlah pendapatan kasar kepada RM3,000 ke bawah berbanding RM1,500 sebelum ini, untuk khidmat bantuan guaman syarie secara percuma bagi kes mal di Mahkamah Syariah di negeri itu.
Setiausaha MAIS Ahmad Shahir Makhtar berkata penyelesaian kes kekeluargaan melalui bantuan guaman itu selaras dengan peranannya untuk menyantuni golongan yang memerlukan terutamanya kelompok B40, sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat Islam di Selangor.
"Syarat lain yang melayakkan pemohonan ini adalah pemohon hendaklah seorang warganegara Malaysia, melengkapkan borang permohonan yang disediakan dan lulus temu duga penilaian kewajaran kes," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara jenis kes yang diwakili adalah permohonan cerai biasa, cerai fasakh, cerai khuluk (tebus talak), cerai taklik, pengesahan lafaz cerai, pengesahan lafaz rujuk, poligami (hanya mewakili defendan sahaja), nusyuz, wali hakim, wali enggan, faraq nikah, pengesahan nikah dan pengesahan sah taraf anak.
Selain itu, kes lain termasuk permohonan tuntutan kebenaran poligami (bagi defendan sahaja), tuntutan nafkah anak, tuntutan tunggakan nafkah anak dan tuntutan ubah perintah nafkah anak.
Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh didapati melalui laman sesawang MAIS di https://www.mais.gov.my/bantuan-guaman-syarie-kategori-umum/ atau hubungi talian 03-5514 3643.
-- BERNAMA
#MAIS #khidmat guaman percuma #peguam syarie #Selangor