KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil ditamatkan perkhidmatannya serta-merta selepas didapati jawatan yang disandangnya itu tidak termaktub dalam Perlembagaan BN.

Menurut Isham, beliau dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatannya itu menerusi surat yang ditandatangani oleh Setiausaha BN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman bertarikh 3 Jun lalu.

"Saya telah dimaklumkan hari ini bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta-merta.

"Berdasarkan surat daripada Barisan Nasional Selangor yang dilampirkan di bawah, ini adalah kerana jawatan Ketua Penerangan Barisan Nasional negeri tidak termaktub di dalam Perlembagaan Barisan Nasional.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berjuang bersama saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor," kata Isham dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.

Sekalipun ditamatkan perkhidmatannya, namun, Isham berikrar akan terus membantu perjuangan BN negeri itu menggesa para penyokong agar terus memberi sokongan kepada BN.

"Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

"Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

"Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita. Sekiranya kita ikhlas, istiqamah dan sabar, Allah SWT akan bantu dan berikan kita kejayaan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua, Insya-Allah," jelas Isham lagi.