KHO dan KPI bukti kesungguhan kerajaan bawa keluar negara dari kelelahan COVID-19 - PM

Astro Awani
Oktober 23, 2021 14:11 MYT
Perdana Menteri menjelaskan pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan KHO ini diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Beliau menjelaskan KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik.
"KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik. Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021," katanya ketika berucap pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo pada Sabtu.
Perdana Menteri menjelaskan pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia.
"Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia," katanya lagi.
Beliau menjelaskan, menerusi program dan inisiatif Keluarga Malaysia, setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.
"Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri. Justeru, suka saya ingatkan, agar setiap ahli Jemaah Menteri dan kementerian-kementerian untuk terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh," katanya.
Perdana Menteri juga menjelaskan dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang.
Jelas beliau ia bagi memastikan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
#Keluarga Malaysia #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #KHO