SUNGAI SIPUT: Sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Sungai Siput di sini yang mengisytiharkan operasi perniagaan sebagai perniagaan perkakasan 'hardware' dikompaun RM10,000, hari ini.

Kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dan anggota polis diketuai Inspektor Abdul Wahed Hamid bersama pasukan Jabatan Perhutanan Kuala Kangsar mulai pukul 10.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, semakan mendapati kilang berkenaan beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), namun, memalsukan jenis operasi perniagaan.

Menurutnya, pemilik premis berusia 70-an itu maklum atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan dan akur operasi kilangnya adalah perniagaan bukan keperluan.

"Kilang tersebut merupakan kilang kayu namun pemiliknya isytihar kepada MITI sebagai perniagaan 'hardware'.

"Kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik premis manakala lapan pekerja tempatan yang berada di kilang itu pula dikompaun RM2,000 setiap seorang," katanya di sini hari ini.

Mohd Khaizam berkata, tindakan ke atas premis itu dijalankan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 manakala bagi pekerja pula, tindakan mengikut Seksyen 17 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Selain itu, Mohd Khaizam berkata, pihaknya turut menahan 17 pekerja asing warga Bangladesh dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, kilang tersebut telah diarah tutup serta-merta dan pihaknya akan memaklumkan kepada MITI bagi membatalkan kelulusan operasi kilang tersebut.

"Pihak polis sentiasa komited dalam memastikan orang ramai patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19,” ujarnya.