BUKIT MERTAJAM: Tidak hanya beroperasi dalam keadaan kotor, malah sebuah kilang memproses serbuk kopi dan teh di Pekan Lama Bukit Mertajam turut menggunakan logo halal yang meragukan.

Pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang dalam serbuan Ops Tegar pagi tadi menemui najis serta bangkai tikus di tempat penyimpanan serbuk kopi yang siap diproses.

Berikutan itu kilang yang sudah beroperasi lebih 50 tahun itu diarah tutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, pihaknya juga mendapati kilang berkenaan tidak mengikut peraturan bagi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Beliau berkata, tindakan pemilik kilang mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan boleh menyebabkan produk makanan yang dikeluarkan tercemar.

“Pemeriksaan pihak kami mendapati terdapat bangkai tikus di bahagian stor, di bahagian end product, itu yang kita jumpa di bahagian bawah.

“Kesalahan lain dari sudut peralatan dan struktur juga tidak mematuhi standard, kita tengok dari segi lantai yang berlopak dan takungan air ini boleh menyebabkan percikan kepada produk-produk dan kemungkinan boleh mencemarkan makanan,” kata Mohd Wazir.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan operasi yang turut dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, kilang berkenaan juga tidak mendapat pengiktirafan sijil halal dan tidak boleh menggunakan pelekat logo halal pada mana-mana produknya.

Siasatan BKKM juga mendapati pemilik kilang yang mengedarkan produk kopi dan teh ke seluruh negara turut didapati melanggar syarat Original Equipment Manufacturer (OEM) yang mana pengilang menjual produk kepada pihak lain dan kemudiannya dibungkus dan dilabel oleh pihak lain.

Mohd Wazir berkata, pihaknya turut mengambil sampel produk teh untuk dianalisis sama ada ia mengandungi bahan pewarna yang dibenarkan atau sebaliknya.

Selain notis penutupan, pihaknya juga mengeluarkan sebanyak tiga kompaun bernilai RM5,000 atas dua kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid dan satu kesalahan tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.