BUKIT MERTAJAM: Sebanyak dua tan tepung gandum bernilai RM6,400 di sebuah kilang roti terkenal di Jalan Transfer, George Town disita selepas pemiliknya didapati menyimpan barang kawalan itu tanpa permit yang sah.

Tindakan itu dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang yang menyerbu premis berusia lebih 20 tahun kira kira jam 11 pagi Rabu.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, R.S. Jegan berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati pengarah syarikat berusia 70 tahun itu tidak mempunyai permit menyimpan barangan kawalan berkenaan.

Kata Jegan, lelaki itu mendakwa dia tidak mengetahui mengenai keperluan memiliki permit tersebut selain syarikatnya tidak dimaklumkan oleh pemborong untuk mendapatkan sebarang permit menyimpan barang kawalan berjadual berkenaan.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai 700 kg tepung gandum jenama Cap Tank iaitu seguni 25 kilogram (kg) iaitu 700 kg jenama Cap Tank dan 1,300 kg jenama Cap Kuda Merah dan semua ini, telah disita untuk siasatan lanjut Anggaran keseluruhan nilai RM6,400,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, Bukit Minyak , Pulau Pinang pada Khamis.

Jegan berkata, itu merupakan kesalahan pertama yang dikesan pihaknya di premis terbabit berikutan ia kali pertama diperiksa.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.