KLUANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menggantung serta-merta lesen sebuah kilang pemprosesan kelapa sawit di sini selepas mendapati menyebabkan pencemaran di Sungai Bahai.

JAS dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, pihaknya turut menyita kelengkapan operasi kilang tersebut.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut dilakukan selepas mendapat aduan pada Selasa dan Rabu sebelum turun ke lokasi melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca pencemaran.

"Siasatan lanjut menunjukkan punca pencemaran sungai tersebut adalah daripada Empty Fruit Bunches (EFB) sebuah kilang sawit apabila air larutan resapan (lecet) yang terhasil mengalir ke kawasan alur air Sungai Bahai.

"Pihak kilang juga didapati menggunakan kaedah pelupusan di atas ‘staked fronds’ dengan menyembur ke lorong pelepah dan tidak terus ke atas tanah bagi efluen yang diolah untuk pelupusan atas tanah seperti ditetapkan dalam syarat lesen," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak kilang tersebut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan lesen kilang sawit digantung serta-merta.

Pihak JAS juga mengingatkan pihak industri termasuk kilang sawit untuk mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat lesen yang ditetapkan jabatan berkenaan.

"Tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen akan diambil JAS jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan bekalan air minuman atau kesihatan orang awam," kata kenyataan itu

Orang ramai boleh melaporkan kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui [email protected].


*Berita asal disiarkan di Sinar Harian