Kecederaan pada bahagian lutut tidak menghalang seorang anggota polis di Balai Polis Membakut untuk menunaikan tanggungjawab pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, hari ini.

Anggota Bahagian Tugas Am, Iswandy Ladi, 38 tahun, menjadi antara pengundi terawal tiba di pusat mengundi dan selesai menunaikan tanggungjawab kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

Menurut Iswandy, kecedaraan yang dialaminya ketika menjalani latihan badminton baru-baru ini tidak mematahkan semangat untuk keluar mengundi pada PRK kali ini.

“Ini tanggungjawab saya yang ketiga untuk PRU (Pilihan Raya Umum) dan kali pertama untuk PRK.

“Sekarang dalam keadaan cedera, dan sudah menjalani pembedahan lutut. Saya sedang cuti sakit sekarang.

“Jadi, bila mengundi saya tunaikan tanggungjawab saya sebagai pengundi,” katanya ketika pemberita, di sini, pada Selasa.

Akibat daripada insiden itu, bahagian anterior cruciate ligament (ACL) Iswandy mengalami kecederaan.

Sementara itu, pesara Awang Taba Awang Tengah, 64 tahun, memaklumkan begitu teruja memandangkan sebelum ini beliau hanya berpeluang menjalankan undi pos.

“Sebelum ini saya memang mengundi pos tetapi mengundi di Balai Membakut ini adalah kali ketiga bagi saya,” katanya.

Terdahulu, satu saluran mengundi di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut mula dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan sembilan pengundi awal melibatkan anggota polis menunaikan hak mereka.

Pusat pengundian awal dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 18 Jan ini di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat 2, Pejabat Daerah Beaufort.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.