IPOH: Setelah beberapa tahun sepi, kawasan Kinta Riverwalk yang terletak di persisiran Sungai Kinta berhampiran Jalan Lim Bo Seng, dekat sini kembali meriah dan berwajah baharu.

Pernah mendapat julukan ‘i-City Ipoh’, salah satu lokasi tarikan pelancongan di Negeri Perak itu kini dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata pembangunan Kinta Riverwalk adalah kesinambungan daripada Ipoh Heritage Trail yang telah dibangunkan sebelum ini bagi mewujudkan tarikan pelancongan di pusat bandaraya berkenaan.

“Pembangunan Kinta Riverwalk akan menjadi pelengkap kepada perancangan Kawasan Pelancongan Pekan Lama seperti digariskan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) dan Ipoh Walkable City serta Rancangan Tempatan Ipoh 2035.

“Projek ini yang dibahagikan kepada tiga lokasi iaitu bermula dari Jambatan Jalan Raja Musa Aziz sehingga Jambatan Jalan Lim Bo Seng sepanjang 1,600 meter. Peruntukannya dibiayai Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM3 juta.

“Lokasi seterusnya bermula dari Jambatan Lim Bo Seng sehingga ke Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sepanjang 195 meter pula akan dibiayai kerajaan negeri sebanyak RM500,000.

“Akhir sekali kawasan bermula dari Jambatan Jalan Sultan Idris Shah sehingga ke Lorong Hale sepanjang 280 meter pula akan dibiayai melalui peruntukan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Pembukaan Semula Kinta Riverwalk di sini pada Sabtu malam.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri A Hasan.

Kerja-kerja menaik taraf Kinta Riverwalk yang dibiayai NCIA telah bermula 2 September 2020 dan siap pada 1 November tahun lalu.

Selain limpahan cahaya lampu berwarna-warni, antara keunikan lain yang terdapat di situ termasuk dua jambatan pejalan kaki yang berkonsepkan bercahaya dalam gelap, laluan pejalan kaki yang dinaik taraf serta premis-premis perniagaan makanan ‘hipster’ dan kraftangan tempatan.

Dalam pada itu Nolee berharap agar pembukaan semula Kinta Riverwalk akan dapat membantu menjayakan sasaran 6 juta jumlah pelancong domestik yang bermalam di Negeri Perak pada tahun ini.

“Kita harapkan dengan pengurusan di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan dapat memastikan bukan sahaja apa yang dibangunkan NCIA dapat dikekalkan, malah dapat ditambah baik daripada semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau juga turut mengingatkan agar semua pihak dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 khususnya varian Omicron.