CYBERJAYA:Institut Automatif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) telah melancarkan Kit Ujian Makmal COVID-19 yang dikenali sebagai ImmuSAFE hasil kerjasama melibatkan MARii dan Sengenics Sdn Bhd.

Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, kit ujian berkenaan mampu menggalakkan lagi pertumbuhan industri dibuka ketika negara berdepan pandemik berkenaan.

“ImmuSAFE mampu mengesan sejauh mana ketahanan seseorang individu dan bagaimana antibodi mereka terhadap COVID-19 termasuk selepas bebas dari jangkitan.

“Kita tidak mahu ekonomi ditutup semula jadi dengan alternatif ini kita mampu kesan mana individu yang perlu menjalani kuarantin dan juga mereka yang boleh meneruskan pekerjaan seperti biasa," katanya ketika majlis pelancarannya di Cyberjaya pada Rabu.

Bagaimanapun menurutnya, kit tersebut yang mempunyai ketepatan sehingga 100 peratus tidak akan menggantikan kit sedia ada iaitu RT-PCR yang kini digunakan untuk mengesan COVID-19. Bagaimanapun,  penglibatan ImmuSAFE ini dilihat mampu menjadi kombinasi untuk merawat penularan COVID-19.

Setakat ini, kit ujian ImmuSAFE telah mula dihasilkan dan sedia untuk dipasarkan namun masih menantikan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Madani dalam masa sama turut memaklumkan berhubung aplikasi ImmuSAFE Tracker yang turut membantu dalam mengesan kontak rapat dalam kalangan individu termasuk pengumpulan data yang disimpan dalam negara oleh agensi kerajaan.

Mengulas mengenai kos bagi Kit ImmuSAFE beliau berkata ia jauh lebih rendah berbanding kit sedia ada malah berkebolehan menawarkan pelbagai fungsi dimana hasil keputusan ujian mampu diperoleh dalam tempoh separuh hari.