Usul bagi menggantung veteran DAP, Lim Kit Siang daripada sidang Dewan Rakyat dijangka dibentangkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usul berkenaan akan dibentangkan pada sesi petang.

''Ia (usul) sudah siap dan ditandatangani dan perinciannya akan diketahui selepas ia dibentangkan," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen di sini.

Usul penggantungan Kit Siang itu sudah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk kelulusan.

Pada Isnin, Ahli Parlimen Gelang Patah itu menuduh Pandikar Amin menyalah guna kuasa apabila menangguhkan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pandikar Amin kemudiannya mengarahkan Kit Siang menarik balik kenyataannya itu dan meminta maaf atau berdepan tindakan penggantungan.