KUALA LUMPUR: Pelaksanaan saringan ujian COVID-19 di semua sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November 2021.

Merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk "Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar", KPM telah menjalankan siasatan dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

Menurut KPM, secara keseluruhan, seramai 16 murid di sekolah berkenaan telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

"Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua jururawat masyarakat," menurut kenyataan itu hari ini.

KPM menjelaskan, pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Menurutnya, pada 28 Nov 2021 KPM telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid.

Berdasarkan surat siaran tersebut, katanya pelaksanaan ujian kendiri hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

-- BERNAMA