KUALA LUMPUR: Perpecahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini disebabkan kita hidup dalam situasi yang suka menghukum orang lain tanpa mengenali orang tersebut.

Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz perkara itu boleh diatasi dengan adanya program-program kunjungan dalam konteks agama dan kaum.

Jelas Muhammad Faisal dengan kunjungan tersebut, sensitiviti sesuatu kaum itu dapat difahami dengan lebih baik.

"Sebenarnya tidak ada masalah untuk kita mengadakan kunjungan ke mana-mana rumah ibadah, cuma tinggal lagi kalau ada kerisauan ia boleh diatasi dengan program-program sebelum lawatan seperti taklimat-taklimat tentang objektif lawatan iaitu lebih kepada penerangan tentang agama.

"Saya nak sebut dalam konteks dunia hari ini kita terlalu terlalu berpecah... kenapa kita terlalu berpecah? Kerana kita hidup dalam situasi orang yang sentiasa menghukum.

"Kita suka menghukum tanpa kita mengenali orang tersebut, kita kata orang itu ABC dan sebagainya tapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam konteks masyarakat tersebut.

"Jadi sebab itu bila kita mengadakan kunjungan, ziarah bukan hanya dalam konteks agama tetapi juga dalam konteks kaum, budaya barulah kita mengetahui mereka sekian-sekian, barulah kita mengetahui sensitiviti mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membawa tajuk Tolak Perkauman, Semai Perpaduan pada Selasa.