KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan telah memberikan kata putus kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tawaran untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan penglibatan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang pada pertemuan Isnin lalu.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu tidak mendedahkan secara terperinci keputusan yang dibuat -  sama ada menolak tawaran menyertai parti Bersatu ataupun tidak terlibat sebagai calon dalam PRN.

Berkongsi perkara itu dalam podcast 'Keluar Sekejap', Khairy menambah Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut memintanya memikirkan semula 'keputusan' tersebut.

"Tan Sri Muhyiddin telah menawarkan keahlian dalam parti bersatu dan juga menawarkan kepada saya peluang untuk terlibat dalam PRN.

"Jadi saya telah berjumpa dengan beliau dan saya telah memberikan pandangan saya kepada beliau dan beliau telah minta supaya saya fikir lagi.

"Saya pun telah setuju untuk fikir lagi dan saya minta untuk beliau (beri) sedikit masa. Jadi itu jawapannya," katanya dalam podcast 'Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan' yang disiarkan hari ini.

Shahril kemudian bertanya: "Tiada jawapan muktamad lagi?".

Khairy menjawab: "Bagi saya adalah (jawapan itu) tetapi beliau minta saya fikir lagi. Jadi, Dewan Undangan Negeri (DUN) belum lagi bubar, mungkin ada sedikit masa untuk apa-apa berlaku,"

"Bagi saya Shahril, ada kata putus tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah," katanya.

Semalam, media melaporkan sumber Perikatan Nasional (PN) mendakwa Khairy tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk Bersatu.

Muhyiddin pada Mei lalu, mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Sementara itu, Khairy turut menyifatkan tindakan 'cybertrooper' Pakatan Harapan (PH) yang menyebarkan berita palsu sebagai 'liabiliti' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana kata Khairy, wujud fitnah dilemparkan laskar siber PH yang mendakwanya mahu diberi jawatan Timbalan Presiden Bersatu dan dijadikan calon PN di DUN Kota Damansara.

Keadaan itu, jelas bekas Menteri Belia dan Sukan menyebabkan beliau dan sebahagian rakyat tidak senang dengan PH akibat perangai laskar siber gabungan itu. 

"Modus operandi mereka senang, cipta berita palsu dan berita palsu itu disebar dan dapat komen membentuk persepsi.

"Saya nak beritahu laskar siber PH, jangan lah sebar berita palsu. Saya rasa benda ini tidak beretika dalam politik dan salah satu sebab saya sendiri tidak senang dengan PH hari ini, dan saya rasa sebahagian besar rakyat tidak senang dengan PH adalah perangai laskar siber PH.

"Sebanyak mana mereka (laskar siber) fikir cuba membantu kerajaan sedia ada, tetapi sebenarnya mereka adalah liabiliti kepada Perdana Menteri," kata Khairy lagi.