Foto Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin seperti sedang mengisi borang di hadapan pemimpin Bersatu berlegar di media sosial.

Dalam foto tersebut, bekas Ketua Pemuda UMNO itu yang berkemeja biru lengan pendek sedang memegang pen dengan menulis sesuatu di atas kertas sambil diperhati seorang lelaki yang memakai baju Bersatu dan seorang kanak-kanak.

Foto itu kelihatan seolah beliau ingin mengisi borang, namun jika difokuskan secara dekat, kertas yang dipegang Khairy seperti sebuah buku tulis.

Difahamkan foto tersebut dirakamkan ketika Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Rembau semalam.

Beberapa foto gambar majlis itu semalam turut dimuat naik Anggota Parlimen tersebut dalam laman Facebooknya.

"Memenuhi jemputan selaku Ahli parlimen Rembau ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018 bersama YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia di Dataran Rembau, Rembau anjuran YB Senator Waytha Moorthy Ponnusamy Menteri di Jabatan Perdana," tulisnya bersama dengan gambar yang dimuat naik di laman Facebook.


Pemimpin Bersatu Mohamad Jani Ismail yang turut berada dalam gambar tersebut tampil menafikan Khairy ketika itu sedang mengisi borang parti itu kepada Astro AWANI.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Rembau itu berkata Khairy ketika itu sedang menandatangani autograf apabila diminta seorang kanak-kanak dikenali sebagai Ryan.

"Sebetulnya saya dengan Khairy sahabat baik 14 tahun lagi beliau ketika itu Timbalan Ketua Bahagian Rembau dan saya Ketua UMNO Cawangan Dataran Senawang. Adat pembangkang datang majlis kerajaan mungkin dia rasa agak asing jadi saya datang bersembang dan duduk dengan dia.

"Yang gambar itu bukan isi borang, tapi Khairy sedang tandatangan autograf. Setakat ini belum ada perbincangan, atau Khairy pun belum mohon nak masuk Bersatu."

Sementara itu, Pegawai Khas kepada ahli Parlimen Rembau, Raja Syahrir Raja Abu Bakar turut mengesahkan Khairy tidak mengisi borang keahlian Bersatu dalam foto tersebut.

"Tidak, bukan isi borang, cuma Khairy ketika itu sedang tandatangan autograf yang diminta kanak-kanak," katanya.

Kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan ramai pemimpin UMNO melompat parti menyertai Bersatu.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya 40 Anggota Parlimen BN akan menyertai Bersatu.

Semalam pemimpin veteran Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan hasrat untuk menyertai Bersatu.