KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) komited untuk terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membendung kes penipuan dalam sektor kewangan.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata komitmen itu diperkukuh melalui pertemuan beliau bersama Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada Isnin.

"Kami komited untuk bekerjasama membendung kes penipuan dalam sektor kewangan. Insya-Allah kerjasama ini akan diteruskan ke arah landskap digital yang lebih selamat," katanya menerusi catatan di Facebook.

Fahmi berkata dalam pertemuan itu, mereka turut berbincang mengenai soal unjuran ekonomi terutamanya dalam bidang digital.

Sebelum ini, BNM dilapor berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta industri kewangan dalam menyelaraskan usaha membanteras pemalsuan serta penipuan kewangan dan mewujudkan kesedaran orang ramai yang lebih meluas tentang taktik penipuan terbaharu.

Sementara itu, dalam catatan berasingan Fahmi berkata beliau turut mengadakan perbincangan dengan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) mengenai kesedaran penipuan dalam talian.

Beliau berkata jenayah penipuan dalam talian antara isu yang menjadi fokus utama beliau dalam usaha membasmi kegiatan jenayah siber itu sejak dilantik menerajui KKD pada Disember tahun lepas.

Dalam usaha menangani kes penipuan dalam talian, Fahmi berkata mereka turut berbincang mengenai potensi kerjasama antara AIBIM dan agensi di bawah KKD berkaitan dengan bidang tersebut.

Antara kes penipuan dalam talian yang sering dilaporkan media ialah e-dagang atau pembelian secara dalam talian, kes pinjaman tidak wujud, pelaburan, Macau Scam dan Love Scam.

-- BERNAMA