Kerajaan mengalu-alukan semua kerajaan negeri untuk memperuntukkan tanah bagi tujuan penanaman komoditi.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya melalui FELCRA sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri bagi tujuan tersebut.

"Kita sendiri lihat bahawa harga komoditi bagi tahun ini meningkat berbanding tahun lepas.

"Jadi, ini merupakan sumber pendapatan yang stabil, terutamanya bagi golongan belia," kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengisytiharan Agihan Dividen Interim 2/2017 peserta-peserta FELCRA Bhd di Kolej MARA Banting hari ini.

Sejumlah RM101.5 diagihkan sebagai dividen interim 2 tahun ini.

Keuntungan hasil ladang dibayar tiga kali setahun iaitu bayaran dalam bentuk interim 1, interim 2 dan akhir.

Kelazimannya, tempoh bayaran dibuat berdasarkan kesesuaian seperti musim Hari Raya Aidilfitri atau musim persekolahan untuk membantu meringankan perbelanjaan peserta.