KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pengagihan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) menerusi Pos Malaysia kepada golongan keluarga B40 di seluruh negara.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Saipol Anwar Mohd Raji berkata, inisiatif pemberian PPC adalah bagi membudayakan norma baharu dan meningkatkan perlindungan kesihatan diri serta meringankan beban kewangan isu rumah bagi golongan tersebut.

Tambahnya lagi, bantuan itu bermula daripada menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi pelancaran Hari Keluarga Malaysia pada Oktober lalu.

"Ekoran daripada itu, kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 3.6 juta Keluarga Malaysia yang akan diagihkan dan mendapat pakej bantuan ini. Malahan, sehingga kini, sebanyak 100,000 kotak PPC telah diedarkan di seluruh negara dan bakinya akan dihantar secara berperingkat kepada penerima-penerima.

"Kita bekerjasama dengan Pejabat Pos Malaysia untuk mengedarkan Pakej Penjagaan COVID-19 ini di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak. Ini kerana Pos Malaysia ini ada di setiap pelosok di negara kita ini.

"Maka, penghantarannya akan jadi lebih mudah dan cepat," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Pejabat Serahan Mel Gombak setelah pengagihan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada golongan B40 di sekitar daerah tersebut pada Jumaat.

Sementara itu, rata-rata mereka yang menerima bantuan ini turut menzahirkan rasa gembira atas keprihatinan kerajaan terhadap bebanan yang terpaksa ditanggung ketika mendepani pandemik COVID-19. 

Bagi Goh Luk Yong, 61, berkata PPC ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebannya untuk terus membeli keperluan penjagaan kendiri buat diri dan ahli keluarganya seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19 khususnya ketika beliau terpaksa berhadapan dengan ekonomi yang tidak stabil akibat pandemik ini.

"Ditambah dengan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini, sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan kami. Maka, dengan bantuan yang dihulurkan ini, ia mampu mengurangkan bebanan kami sekeluarga dari segi kewangan kami untuk membeli seperti pelitup muka dan kit ujian kendiri COVID-19. Terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin kepada mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemu bual di kedai miliknya di Lembah Klang.

Manakala, bagi Joshua Peter Ambrose, 18, anak kepada pasangan Siromany dan A. Stanley yang mewakili kedua ibu bapanya itu berkata, bantuan yang diterima itu sangat bermakna dan besar nilainya buat beliau sekeluarga dan mampu memudahkan urusan untuk tidak perlu ke klinik dengan kerap bagi mengambil ujian kendiri COVID-19 jika merasa tidak sihat atau dikhuatiri dijangkiti wabak itu.

"Menerusi bantuan yang dihulurkan oleh pihak KKM, saya menerima kit ujian kendiri COVID-19, termometer dan oximeter. Jika dilihat kembali, bantuan yang diterima tadi, jika dibeli farmasi sudah tentu mampu mencecah lebih daripada RM 100. 

"Maka, dengan bantuan kerajaan ini, sememangnya mampu mengurangkan bebanan kami sekeluarga dan sekurang-kurangnya ianya mampu melindungi kami dari terus khuatir jika dijangkiti wabak itu dengan penjagaan diri yang berkala," katanya.