KKM akan buat persampelan ujian COVID-19 guna air liur - Dr Adham

Bernama
Februari 18, 2021 09:55 MYT
Persampelan bagi ujian COVID-19 dengan menggunakan air liur telah dijalankan di beberapa negara dan terbukti lebih murah. - Gambar fail/ Reuters
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memulakan ujian COVID-19 menggunakan persampelan air liur (deep throat saliva) di beberapa hospital kerajaan dalam masa terdekat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Katanya, berdasarkan penilaian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.
Selain itu, kaedah persampelan itu selamat dan tidak invasif berbanding persampelan dengan kaedah 'nasopharyngeal' serta 'oropharyngeal' swab iaitu melalui hidung dan mulut, katanya.
"KKM telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada IMR untuk gunakan kaedah persampelan guna air liur ini di fasiliti kesihatan iaitu hospital kerajaan terlebih dahulu.
"Persampelan COVID-19 melalui air liur ini juga akan mempercepat dan meningkatkan saringan COVID-19," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan 2.7 juta picagari jenis low dead-volume berjumlah RM891,000 daripada Etiqa Family Takaful Berhad di kementeriannya di sini, hari ini.
Dr Adham berkata kaedah persampelan menggunakan air liur itu bersifat "self-collected" iaitu dikumpul sendiri dan dijangka menjimatkan pemakaian penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE).
"Pesakit akan diminta mengeluarkan sendiri air liur ke dalam cawan spesimen dan cawan itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk diuji," katanya.
Dr Adham berkata kaedah persampelan menggunakan air liur itu sesuai bagi ujian 'Real-Time Reverse Transcriptase-PCR' (RT-PCR) COVID 19.
"Sekarang, IMR sedang melengkapkan kajian penggunaan sampel air liur untuk ujian RTK antigen (RTK Ag)," katanya, sambil menambah persampelan melalui hidung dan mulut masih lagi digunakan untuk mengesan COVID-19.
Beliau berkata persampelan bagi ujian COVID-19 dengan menggunakan air liur telah dijalankan di beberapa negara dan ia terbukti lebih murah dan menjadi antara kaedah mengumpul sampel paling konsisten.
-- BERNAMA
#KKM #ujian #saringan #COVID-19 #air liur #Dr Adham Baba #deep throat saliva #IMR