KKM dijangka umum ketetapan baharu pelitup muka pada Rabu - Khairy

Astro Awani
September 4, 2022 04:45 MYT
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berucap pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Pangsapuri Seri Alam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan membuat pengumuman mengenai ketetapan baharu pemakaian pelitup muka selewat-lewatnya Rabu ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikannya sudah menerima syor daripada pakar mengenai pemakaian pelitup muka pada minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau masih dalam proses mengumpul pandangan orang ramai berhubung perkara itu, sebelum mengumumkan keputusan baharu mengenai pemakaian pelitup muka.
Beliau mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam pada minggu lalu.
Sebelum ini, katanya jawatankuasa itu hanya melihat kepada isu COVID-19, tetapi sekarang kepada semua masalah kesihatan awam.
#COVID-19 #pelitup muka #Khairy Jamaluddin #Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam