KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan membuat pengumuman mengenai ketetapan baharu pemakaian pelitup muka selewat-lewatnya Rabu ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam yang dipengerusikannya sudah menerima syor daripada pakar mengenai pemakaian pelitup muka pada minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau masih dalam proses mengumpul pandangan orang ramai berhubung perkara itu, sebelum mengumumkan keputusan baharu mengenai pemakaian pelitup muka.

Beliau mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Kesihatan Awam pada minggu lalu.

Sebelum ini, katanya jawatankuasa itu hanya melihat kepada isu COVID-19, tetapi sekarang kepada semua masalah kesihatan awam.