SUBANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memberi jaminan untuk terus mengenal pasti kemungkinan kontak rapat daripada kes indeks Omicron.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, usaha pengesanan yang akan dilakukan termasuklah terhadap mereka yang berada dalam pesawat yang sama serta tempat yang dikunjungi individu berkenaan sewaktu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setakat ini, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kesemua kontak rapat yang dikenal pasti sebelum ini didapati negatif dan selesai menjalani kuarantin kendiri masing-masing.

"Pengesanan kontak rapat telah dijalankan dengan kerjasama maklumat syarikat penerbangan dan hasil siasatan kita, penumpang dalam 40 (barisan) ke depan dan 40 ke belakang, kiri dan kanan, hanya dua orang saja boleh dikategorikan sebagai kontak rapat.

“Kedua-dua mereka adalah warga asing, (ujian saringan) negatif COVID-19 semasa ujian ketibaan dan ujian ulangan sebelum dilepaskan dari kuarantin. Namun pengesanan kontak sedang terus dijalankan,” katanya lagi.

BACA: COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia 

BACA: Omicron: Tidak perlu terlalu bimbang jika patuh SOP - Pakar 

BACA: Kes pertama varian Omicron di Malaysia, 7 kontak rapat disah negatif COVID-19 

Dalam satu sidang media pada Jumaat, Khairy berkata, KKM telah mengesan kes pertama Omicron di negara ini melibatkan seorang pelajar antarabangsa yang tiba di negara ini pada 19 November lepas.

Bagaimanapun, individu tersebut telah menjalani kuarantin wajib dan disahkan bebas COVID-19, 10 hari kemudian.

Saringan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan juga dijalankan kepada kontak rapat pelajar terbabit, dan mereka semua negatif daripada varian COVID-19.

Dalam pada itu, Khairy berkata, siasatan akan terus dijalankan dengan terperinci memandangkan kadar Cycle Threshold (CT) value atau nilai kitaran ambang individu tersebut sudah menghampiri 30, yang bermaksud kebolehjangkitan varian itu agak rendah.

"Kita nak buat siasatan sikit sebab kes indeks ni, dia dah buat pre-departure testing, arrival testing, jadi kita belum mengetahui dia dijangkiti dari mana. Kadar CT dia agak tinggi, maksudnya kalau CT dah hampiri 30, dah boleh kata tak berapa infektif, dah nak habis. So our scientists are looking what actually took place,” jelas Khairy lagi.