PUTRAJAYA: Dalam menambahbaik penyampaian data kesihatan yang tepat, terkini dan relevan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melancarkan portal baharu dikenali KKMNOW. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif baharu itu merupakan kesinambungan atau perluasan kepada fungsi portal COVIDNOW sedia ada.

"Langkah ini adalah selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan juga usaha KKM mewujudkan satu platform bersepadu bagi tujuan perkongsian serta rujukan data oleh pengurusan KKM dan seluruh rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran KKMNOW di sini, pada Rabu.

Menurut Khairy, skop KKMNOW yang lebih luas akan merangkumkan paparan data seperti maklumat berkenaan fasiliti-fasiliti kesihatan dan data berkaitan program kesihatan seperti pendermaan darah, pendermaan organ, saringan kesihatan dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), dan data berkaitan penyakit-penyakit berjangkit.

Kesihatan | KKM lancar portal baharu KKMNOW


Beliau memberitahu, selari dengan aspirasi kerajaan, MyDigital, portal KKMNOW direka untuk memaparkan data-data kesihatan yang diperolehi bukan sahaja daripada KKM tetapi juga melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai agensi.

"Langkah ini diharapkan dapat meruntuhkan cara kerja silo dalam kalangan agensi kerajaan dan akan memudahkan kumpulan penyelidik serta pembuat dasar memperolehi data-data berkaitan kesihatan.

"Dalam hal ini, KKM telah menjalankan kolaborasi strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semasa pembangunan portal KKMNOW," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, masyarakat sivil juga akan memperoleh manfaat melalui bekalan data yang lebih berkualiti untuk menyokong aktiviti-aktiviti di peringkat komuniti.

Pada masa yang sama katanya, sektor swasta juga boleh menggunakan data-data ini untuk memacu daya inovasi, menjana nilai ekonomi dan merancang perkhidmatan yang dapat melengkapi perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kerahsiaan maklumat peribadi pesakit di portal berkenaan akan terus menjadi keutamaan dalam pengurusan data kesihatan.

"Mungkin nanti akan ada soalan sama ada open data ini untuk kesihatan boleh atau tidak kerana melibatkan data peribadi, it's all anonymous," ujarnya.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pasukan MySejahtera untuk mengintegrasikan portal tersebut dengan aplikasi berkenaan.