KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 pada akhir Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, nisbah yang tercapai pada tahun lepas ialah 2.01 di mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 katil pada tahun 2016 kepada 65,508 katil pada tahun 2020.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran ditetapkan, KKM meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi. Faktor lain yang turut diambil kira ialah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan.

“Selain meningkatkan bilangan katil di hospital dan fasiliti KKM, kementerian juga menggunakan pendekatan untuk mengoptimumkan bilangan katil sedia ada menerusi perkhidmatan rawatan harian di hospital-hospital utama bagi mengurangkan keperluan terhadap katil pesakit dalam.

Dapatkan semua berita sidang Parlimen di sini.

“KKM juga melaksanakan program hospital kluster yang mana perkhidmatan kepakaran dikembangkan ke hospital tanpa pakar yang mempunyai kadar penggunaan katil yang rendah,” katanya dalam Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan daripada S Kesavan (PH - Sungai Siput) mengenai sasaran yang diambil kerajaan untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital lebih tinggi sekali gus memberi kemudahan kesihatan lebih selesa untuk rakyat.

Dalam pada itu, Khairy berkata, mengambil iktibar dari situasi di Sabah, KKM dari semasa ke semasa akan memberikan bantuan peralatan kepada negeri-negeri yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.

“KKM akan menubuhkan Rapid Development Unit, di mana modular Unit Rawatan Rapi (ICU) boleh dihantar dengan cepat, alatan oksigen boleh dihantar dengan cepat ke mana-mana negeri yang mungkin mengalami kenaikan kes sekiranya varian baharu muncul.

“Isu ini kita pastikan tidak berlaku seperti mana yang berlaku sebelum ini di mana katilnya tidak mencukupi seperti yang berlaku beberapa bulan lepas,” ujar Khairy lagi.