PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melaksanakan protokol pengundian yang membolehkan individu positif COVID-19 mengundi semasa pilihan raya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana semua pihak perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 akan kekal selama-lamanya dan hak untuk mengundi tidak boleh dinafikan.

“Saya sudah cakap dengan pegawai saya bahawa COVID-19 akan berada bersama kita.

“Kalau kita nafikan hak mereka untuk mengundi, kita menafikan hak untuk berperlembagaan. Jadi kita sedang memikirkan apa cara selamat bagi membolehkan mereka mengundi dan di mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) dan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) pada Isnin.