Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti beberapa perkara termasuk aspek hukuman sekiranya kerajaan mengambil langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu penting bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 boleh diputuskan.

"KKM sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutamanya di tempat awam dan di lokasi yang sukar melakukan penjarakan sosial.

"Walau bagaimanapun, kita belum mewajibkan perkara tersebut kerana jika kita laksanakannya, ia berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukan denda RM1,000 atau penjara," katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.


Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Dalam pada itu, menurut Dr Noor Hisham, pemakaian pelitup muka mampu mengurangkan sebanyak 65 peratus kadar penyebaran wabak.

"Penjarakan sosial pula mampu mengurangkan sehingga 70 peratus dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan ini.

"Sehubungan itu, KKM mengesyorkan untuk kita semua memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, sesak dan sukar melakukan penjarakan sosial seperti di dalam bas dan kapal terbang," jelasnya.