KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menerima sebarang notifikasi berhubung kes seorang kanak-kanak didakwa dijangkiti virus monkeypox atau cacar monyet seperti yang tular di media sosial.

Bagaimanapun, KKM dalam satu kenyataan menasihatkan waris kanak-kanak berkenaan membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan dengan segera jika gambar yang ditularkan adalah benar.

"Sehingga 24 Mei 2022 jam 5.00 petang, KKM tidak menerima sebarang notifikasi berkenaan kes yang dijangkiti virus monkeypox atau kes kanak-kanak yang dikatakan  dijangkiti virus monkeypox seperti dalam mesej beserta gambar yang ditularkan dalam media sosial.

"Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,"kata kenyataan itu pada Selasa.

BACA : Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia rendah - Dr Noor Hisham

KKM juga menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya, sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.