KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuhkan kesiapsiagaan pelbagai aspek kesihatan dalam berdepan wabak COVID-19, termasuk meningkatkan kapasiti maksimum makmal COVID19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata,  pencapaian itu adalah hasil kesepaduan kerjasama semua 61 makmal di bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Awam dan Swasta, serta makmal swasta.

Katanya, sebanyak 13 makmal Universiti Awam (UA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan makmal swasta kini dalam proses menggembeling sumber ke tahap maksimum.

"Sebanyak 42 peratus kapasiti makmal negara digunakan setakat 14 Oktober 2020. Peratusan dijangka meningkat untuk menguji lebih banyak sampel terutama dari zon merah, zon kuning serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kapasiti 2,500 ujian sehari sudah beroperasi.

"Manakala baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Malaysia (TUDM) ke Semenanjung. Selain itu makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat," ujarnya.

Di lapangan pula, bagi membantu pengesanan awal kes positif COVID-19 lebih banyak, ujian RTK-Ag telah digunakan.

"KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung COVID-19," tambah beliau.