KKM ubah Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak mulai bulan ini

Nailah Huda
November 17, 2020 04:17 MYT
Dr Noor Hisham berkata pengurangan bilangan suntikan ini diharap dapat memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengubah Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-Kanak secara berperingkat di semua klinik kesihatan (KKM) di seluruh negara bermula awal bulan ini.
Perubahan itu membabitkan vaksin lima serangkai kepada kanak-kanak yang kini ditukar kepada enam serangkai, menurut Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
“Pertukaran pelaksanaan akan dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, KKM menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan Haemophilus influenzae Type B (DTaP-IPV/HIB) dan Hepatitis B sejak 2008 di beberapa negeri dan diperluaskan ke seluruh negara pada tahun 2010.
Ia diberi sebanyak tiga dos primer pada umur dua bulan, tiga bulan dan lima bulan serta satu dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan manakala vaksin Hepatitis B diberikan dalam tiga dos iaitu semasa lahir, pada umur sebulan dan enam bulan.
Kini, ia akan ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai difteria, tetanus, pertussis, polio, Hepatitis B dan Haemophilus Influenzae Type B (DTaP-IPV-HepB-HIB).
Ini bermaksud bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit itu dikurangkan dari tujuh suntikan kepada lima suntikan susulan pertukaran ini.
“Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan,” kata Noor Hisham.
Dalam jadual baharu, sebanyak empat dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan, tiga bulan, lima bulan dan 18 bulan.
Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa vaksin enam serangkai telah digunakan di 49 buah negara serta digunakan di hospital swasta di Malaysia sejak 2013.
“Vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib adalah vaksin yang berkesan dan selamat.
“Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.
Namun, memandangkan ia baharu digunakan oleh KKM, pemantauan akan dijalankan menerusi Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan.
Dr Noor Hisham turut menyarankan agar ibu bapa mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk kanak-kanak berumur 1 bulan dan 6 bulan untuk pemantauan pertumbuhan meskipun suntikan imunisasi tidak diwajibkan lagi pada umur berkenaan.
#vaksin #imunisasi #Jadual Imunisasi Kanak-kanak #vaccine #Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #Kementerian Kesihatan #difteria #tetanus #polio #hepatitis B