KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menganjurkan program RIUH-Keluarga Malaysia bermula Januari tahun depan dalam usaha mempromosi dan memartabat industri kreatif tempatan.

Timbalan Menteri KKMM Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata program itu, yang juga bertujuan memulihkan ekonomi serta merancakkan sektor pelancongan, akan diadakan di setiap negeri secara berperingkat.

Beliau berkata RIUH-Keluarga Malaysia akan dilaksana melalui kerjasama antara KKMM, MyCreative Ventures Sdn Bhd dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).

"Program ini akan melibatkan 5,000 peluang pekerjaan... melalui program ini juga, kita akan buat pertunjukan, jualan dan sebagainya untuk menyemarakkan industri kreatif," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran STAR/KL dan Bamboo House KLWKND di sini malam tadi.

Pameran itu diadakan sempena 'Art In The City' (AITC) 2021 yang merupakan acara tahunan anjuran CENDANA bagi menyemarakkan kembali seni dan budaya di ibu kota.

BACA: Kerajaan akan terus sokong industri kreatif melalui MyCreative, CENDANA dan RIUH 

Terdahulu, Zahidi dalam ucapannya berkata acara seperti AITC adalah penting dalam mengetengahkan sektor seni kreatif yang merupakan tunjang utama tradisi, warisan dan kebanggaan negara.

"Saya berharap kolaborasi strategik sebegini dapat dijadikan contoh untuk pihak lain membawa pihak kerajaan, swasta dan pemain industri secara bersama.

"Saya yakin kolaborasi sebegini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara demi manfaat semua selari dengan saranan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang kian hari kian penting untuk semua pemegang taruh dalam setiap industri," katanya.

-- BERNAMA