Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIFH) dari 13-15 Jun 2014 yang lalu bukanlah sekadar tapak jualan ataupun ‘pasar tudung dan baju’ tetapi saya melihat lebih dari itu.

KLIFH adalah tempat mahabbah bagi kumpulan menegakkan syarak membentuk satu pasukan dakwah untuk tarbiah awam perihal berpakaian di kalangan muslim yang selama ini mungkin beranggapan aurat itu adalah sekadar membalut bukan menutup.

Benar di dalam 250 gerai yang menyertai pastinya ada nuansa pemahaman dan pemikiran. Maka kita boleh lihat masih ada gerai yang berorientasikan tabaruj dengan tudung berbonggol tinggi atau pakaian bertampal-tampal dan bertampung-tampung.

Ianya salah dan melangkau apa yang dikatakan aurat dan fesyen patuh syariah tetapi untuk kita menghukum adalah satu perkara yang tidak adil kerana golongan ini perlu ada pendedahan ilmu. Maka inilah tanggungjawab kepada jaguh jenama patuh syariah seperti Modest Culture, Sri Munawarah ataupun Najjah dan banyak lagi untuk membimbing dan membentuk apa yang dikatakan ‘pakaian yang Allah suka’ adalah pakaian yang boleh dibuat untuk solat.

Cabaran berterusan bagaimana jenama-jenama ini mampu menghasilkan design untuk memikat golongan hijabista atau hijabglam (tabaruj) agar terpesona dengan pakaian ‘solat ready’ ini.

Tambahan lagi selain design yang bagus, ianya juga cabaran daie seperti kami untuk membimbing persekitaran agar menguatkan budaya ini. Kini saya lihat perbezaan ketara di masjid-masjid yang mana mereka tidak menggunakan telekung untuk solat tetapi pakaian mereka sudah memadai untuk ‘berhadapan’ dengan Allah.

Mus
Penulis di booth Leanen Closet ketika Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIFH) baru-baru ini. --foto MUSTAFA AKMAL ARIFFIN

Tudung yang membuka hati

Teringat saat seorang wanita tidak bertudung malah ‘ranggi’ di pertengahan usia menghampiri saya dengan menyampaikan niat untuk borong tudung. Puas beliau memilih diakhirnya beliau memilih enam helai tudung dan jubah tanpa bantahan. Jubah-jubah kami (Leanen Closet) adalah jubah yang longgar dan tudung-tudung kami adalah labuh tetapi beliau apabila dilihat gaya fesyennya sangat bercanggah dengan apa yang dibeli.

Ketika tangan sibuk memilih, beliau sempat menyatakan keinginannya untuk bertudung penuh. Saya diam dan terharu atas rasa manusia sememangnya tidak boleh dinilai habis dengan luarannya. Alhamdullillah, moga dakwah kami Allah pandang dan terima dan yang paling penting wanita itu menemui titik perubahan hidup.

Ya Allah Kaulah pemilik hati-hati ini, maka kau pilihlah dia untuk merasa manisnya hidayah.

Muhaya KLIFH
Penulis bersama penceramah terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad. --foto MUSTAFA AKMAL ARIFFIN

Industri berbantal ringgit

Selama berkampung di sana, saya juga melihat graf industri pakaian sedang mencanak naik. Untuk rekod terdapat beberapa jenama yang berjaya mengumpul kutipan jualan lebih RM70,000 dalam tempoh tiga hari!

Pengunjung tidak lokek berbelanja pada jenama-jenama jaguh dan baharu, sehingga kami (Leanen Closet) yang tidak sampai dua bulan dipasaran menerima tempias itu, Kuasa membeli pengunjung di tahap optima yang mana kita boleh melihat pengunjung keluar berbondong-bondong dengan kiri kanan tangan mereka penuh dengan barangan.

Sisi mahal manusia

Semua orang kenal beliau ketika zaman lampu limpah simbah ke wajahnya. Setiap inci pentas nyanyian akan dijajahi dan penonton akan berpusu untuk lihat beliau beraksi tetapi itu dahulu. Sebelum Allah menjentik hatinya untuk berpaling kepada Allah.

Di KLIFH saya melihat sendiri bagaimana ikon muzik terkenal, Mizz Nina sebagai hamba Allah yang sentiasa berusaha untuk mencari manisnya ibadah. Beliau yang mempunyai gerai tidak jauh dari kami akan memberhentikan urusan kerja/perniagaan serta merta bila azan berkumandang lalu mencapai beg solat menuju ke surau.

Bukan sahaja terus untuk solat, beliau juga mengarahkan pekerjanya untuk berhenti dan solat.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah! Saya tersentuh!

Bertentang booth jualan dengan booth figura dakwah dambaan semua iaitu Ustaz Don telah memberikan satu rasa yang sangat sukar digambarkan. Sememangnya saya kerap berjumpa beliau di dalam majlis ilmu tetapi ianya agak terbatas tetapi KLIFH telah memberi saya satu ruang bebas untuk berinteraksi dengan beliau setiap masa tanpa perlu ada batasan kawalan ataupun protokol.

KLIFH Ustaz Don
Penulis bersama pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal (tengah). --foto MUSTAFA AKMAL ARIFFIN

Sempat berjemaah dengan beliau pada Maghrib terakhir dan ternyata ianya memberikan rasa yang berlainan. Saya menjadi saksi bagaimana seorang jemaah saf akhir teresak-esak menangis usai solat, mungkin sebak atau terharu apabila dapat berimamkan Ustaz Don.

Agak lama tangisan beliau dan saya faham rasa itu.

Itu belum lagi serbuan pengunjung yang sentiasa berebut untuk bergambar dengan beliau setiap waktu tidak kira golongan dan usia dan saya teringat sabda Nabi Muhammad SAW, yang berbunyi ‘barangsiapa memandang orang alim dengan hati yang senang, nescaya Allah akan menjadikan malaikat untuk berdoa meminta ampun sehingga kiamat’ Semoga mata kami memandang yang baik-baik sahaja.

Ada satu saat yang menyebabkan saya tersenyum simpul apabila melihat seorang gadis yang seksi pakaiannya bersungguh-sungguh untuk ‘berselfie’ dengan Ustaz Don. Semoga keseronokkan berjumpa tokoh agama itu menjadi asbab bagi beliau (gadis) untuk menjadi seorang muslimah.

Pameran hijab pertama terbesar ini juga memberikan satu peluang mahal bagi saya, untuk melihat sisi lain ataupun ‘belakang tabir’ Ustaz Don iaitu hubungan beliau bersama ahli keluarga yang merupakan jentera jualan produk beliau. Hubungan mereka sangat mesra dan sederhana.

Saya juga melihat bagaimana beliau mengenepikan populariti dengan menyelingsing lengan dan menanggal kopiah mengemas barang dan merobohkan gerai jualan pada hari penutup. Beliau sememangnya merendah diri dan sederhana.

Manis daie

Saya penat, pinggang bagai tercabut tetapi saya seronok bukan kerana kutipan tetapi Allah memberi saya peluang untuk melihat pelbagai sisi manusia untuk jadi menjadi cermin hidup dan usaha untuk keluar dari vakum yang biasa.

Menjadi daie itu tidak pernah merugikan.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.