Klinik swasta bantu percepat agihan vaksin COVID-19

Shuhada Abdul Kadir
Mei 6, 2021 12:25 MYT
Dr Anas Alam Faizli berkata, malah sehingga semalam, 37 klinik swasta telah memulakan vaksinasi di klinik masing-masing manakala 172 klinik lagi dijangka akan bermula pertengahan bulan ini. - Astro AWANI
SEREMBAN: Sebanyak 2,448 klinik swasta seluruh negara sudah berdaftar dan menyatakan kesediaan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa 2 dan 3.
Ketua Pegawai Eksekutif, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Dr Anas Alam Faizli berkata, malah sehingga semalam, 37 klinik swasta telah memulakan vaksinasi di klinik masing-masing manakala 172 klinik lagi dijangka akan bermula pertengahan bulan ini.
Beliau berkata, daripada 2,448 klinik swasta itu, 1,934 klinik sudah menandatangani perjanjian iaitu masing-masing 256 di Johor, Kedah (102), Kelantan (44), Melaka (50), Negeri Sembilan (76), Pahang (71), Perak (137), Perlis (10), Pulau Pinang (109), Sabah (105), Sarawak (94), Selangor (559), Terengganu (45), Kuala Lumpur (260), Labuan (4) dan Putrajaya (12).
“Kita lihat mereka yang menerima vaksin di klinik swasta setakat ni mereka puas hati dengan vaksin yang diterima, dan juga kalau lihat di PPV AstraZeneca juga, mereka semua beri maklum balas yang baik dan positif.
“Paling penting adalah kita mahu melibatkan semua fasiliti sama ada fasiliti kerajaan atau fasiliti swasta.
“Apabila orang ramai melihat bahawa setiap fasiliti kerajaan dan swasta sama sama berganding bahu terlibat pemberian vaksin, kita dapat meningkatkan keyakinan (terhadap) vaksin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melibatkan hospital dan klinik swasta dalam menjayakan PICK fasa 2 dan 3 sebagai PPV.
Penglibatan itu dibuat selepas mengambil kira cadangan bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk Malaysia diberikan imunisasi COVID-19 dengan segera.
Jelas Dr Adham, mana-mana institusi yang ingin mengambil bahagian boleh berdaftar melalui ProtectHealth di laman web www.protecthealth.com.my.
Mengulas lanjut, ujar dr anas, sehingga semalam sebanyak 1,533 buah klinik swasta telah dilatih dan akan melalui beberapa proses pentadbiran sebelum memulakan vaksinasi.
Malah katanya, melihat kepada sentimen orang ramai juga berpuas hati menerima suntikan vaksin di klinik swasta memandangkan ada antara mereka sudah biasa mendapatkan rawatan di klinik berkenaan selain peralatan perubatan yang lebih baik.
#vaksin #PPV #COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Dr Anas Alam Faizli #PICK #ProtectHealth