KUALA LUMPUR: Susulan penyebaran video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei yang tersebar di aplikasi TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pengurusan syarikat terbabit memberi penjelasan segera.

Menerusi satu kenyataan media, MCMC berkata, tindakan itu susulan pendedahan sebuah portal berita, bahawa penyebaran tiga klip video terbabit adalah kandungan berbayar.

Katanya, MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus memantau penyebaran tiga klip video berkenaan.

MCMC berkata, penyebaran kandungan berbaur provokasi dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian dan prejudis adalah kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Pelaku boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Penyebaran kandungan video sedemikian merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan agama dan kaum,” katanya.

Justeru, katanya, MCMC dan polis akan meningkatkan usaha dalam mengekang penyebaran video yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.