KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk berkembang kira-kira empat peratus pada 2021 berikutan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam.

Pakar ekonomi kanan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) Julia Goh dan ahli ekonomi Loke Siew Ting berkata tempoh anggaran bagi fasa yang dirancang itu adalah seiring dengan jangkaan bank berkenaan apabila ia menyemak turun unjuran KDNK tahun penuh kepada empat peratus untuk 2021 daripada lima peratus sebelum ini.

"Kami mengekalkan pandangan berhati-hati kerana risiko berkaitan pandemik akan terus meningkat ketika pelaksanaan vaksin adalah tertakluk kepada ketibaan bekalan vaksin yang tepat pada masanya," kata mereka menerusi nota ulasan ekonomi mengenai pelan pemulihan itu hari ini.

Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah strategi peralihan keluar daripada pandemik COVID-19 merangkumi empat fasa yang bertujuan memberi panduan kepada rakyat dan perniagaan untuk beberapa bulan akan datang berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara bermula 1 Jun lepas dan dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Pelan pemulihan ini turut menggariskan tiga indikator ambang utama iaitu bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Berkongsi pandangan yang sama, ahli ekonomi OCBC Bank Wellian Wiranto berkata, setakat ini, kerajaan tidak menyatakan sebarang semakan semula ke atas unjuran awal KDNK pada enam hingga 7.5 peratus.

"Bagaimanapun, berdasarkan anggaran capaian hariannya dan andaian bahawa fasa pertama sekatan pergerakan ini tidak akan dilanjutkan, ia akan mencatatkan kira-kira dua mata peratusan, menjadikan bahagian terendah julat ramalan mereka adalah seiring dengan ramalan empat peratus kami," katanya.

BACA: Pelan Pemulihan Negara: Longgar PKP jika kes bawah 4,000 - PM

Sementara itu, Goh dan Loke mengekalkan saranan mereka ke atas Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk kekal pada 1.75 peratus sehingga akhir tahun ini.

"Dengan sokongan dasar yang berterusan termasuk sokongan fiskal terkumpul berjumlah RM380 bilion sejak tahun lepas, lebihan RM206 juta untuk dibelanjakan daripada Belanjawan 2021 dan penurunan kadar dasar 125 mata asas, kami menjangka Bank Negara Malaysia akan mengekalkan pendirian dasarnya pada masa ini," menurut mereka.

Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) pula menyifatkan, pelan pemulihan empat fasa itu mempunyai hala tuju yang jelas untuk membebaskan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

"Ia menyediakan strategi untuk melonggarkan sekatan dan memberi laluan kepada keadaan normal," menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amiruddin Abdul Shukor.

CEO Malaysian Bioeconomy Development Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak pula berkata, pelbagai inisiatif dan program organisasi itu akan menjadi pelengkap kepada strategi empat fasa kerajaan untuk mengembalikan negara kepada keadaan normal menjelang akhir 2021 berikutan impak pandemik COVID-19.

"Kami mempunyai rangka tindakan bioekonomi - dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2021 - yang mengukuhkan hala tuju pembangunan bioekonomi Malaysia pada masa depan," katanya.

-- BERNAMA