TIDAK pernah berlaku dalam lipatan sejarah negara sesebuah kerajaan dapat mentadbir melebihi penggal - lima tahun tanpa pilihan raya.

Namun hari ini, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalaminya kerana proklamasi darurat yang diperintahkan terhadap negeri itu.

Ia bukan satu kesalahan, apatah lagi kesilapan. Ia adalah keperluan kerana ketika ini, seluruh negara tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya akibat penularan hebat COVID-19.

Sejak 11 Januari lalu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menggunakan kuasanya yang termaktub di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk tidak mengadakan pilihan raya dan sidang parlimen.

Ia bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menjadi lebih teruk.

Justeru bila ia akan diadakan? Seri Paduka Baginda akan berunding terlebih dahulu dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 ordinan yang sama bagi menentukan proses demokrasi itu.

Di atas kertas, jika 1 Ogos depan proklamasi darurat ditarik balik, maka dalam tempoh 60 hari selepas itu, pilihan raya boleh diadakan.

Namun ia boleh menjadi lebih awal jika keadaan mengizinkan, dengan situasi COVID-19 semakin reda dan proses vaksinasi sudah mencapai imunisasi kelompok.

Atau menjadi lebih lama, jika situasi semakin memburuk, memandangkan keadaan jangkitan tidak terkawal, hingga ada kekhuatiran bahawa sistem kesihatan negara akan lumpuh.

Ini bermakna, Sarawak masih mempunyai lebih 100 hari sebelum pilihan raya diadakan semula. Dan tiada alasan lagi untuk banyak pihak menangguhkannya, seperti sebelum ini.

Menurut sumber, Ketua Menteri Sarawak sudah tiga kali menangguhkan urusan pembubaran ini kerana situasi yang tidak mengizinkan.

Dalam keadaan sekarang, mengadakan pilihan raya seperti menempah maut. Ditelan mati bapa diluah mati emak.

Namun Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil langkah tepat, iaitu mengutamakan nyawa terlebih dahulu. Politik boleh datang kemudian.

Sarawak pasti tidak mahu insiden Pilihan Raya Negeri Sabah kembali berulang, apabila ia seolah-olah menjadi seperti Wuhan, menyebarkan wabak ini ke seluruh negara.

Justeru itu, semua pihak perlu menghormati apa yang berlaku. Usah fikirkan tindakan kerajaan menangguhkan pilihan raya adalah langkah politik.

Dalam politik Sarawak, kuasa yang dimiliki Kerajaan GPS cukup besar. Kerajaan itu menguasai 68 daripada 82 kerusi yang ada di dalam DUN. Dua lagi kerusi dimiliki calon Bebas manakala satu lagi kerusi kosong.

Dengan jumlah yang besar itu, sudah tentu Abang Johari mahu pilihan raya diadakan segera. Kerana bukan sahaja beliau mahukan mandatnya sendiri, bahkan dalam situasi sekarang, beliau dapat mengekang kemasukan ‘orang asing’, terutamanya jurukempen-jurukempen dari luar Sarawak.

Oleh yang demikian, tiada alasan untuk mengatakan penangguhan pembubaran dan penyerahan keputusan pembubaran ini kepada Seri Paduka Baginda sebagai muslihat lain.

Seperti kata Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik Universiti Malaysia Pahang, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Seri Paduka Baginda mempunyai ‘kuasa besar’ bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya berdasarkan peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Malah Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 14 Januari membenarkan kenyataan berkenaan:“ Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa.

“Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan ini dengan mana-mana undang-undang bertulis lain, peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan dan ketidakselarasan itu.”

Justeru untuk waktu sekarang, sehingga tiba masanya untuk pilihan raya, biarlah wakil rakyat terlibat menjalankan tugasnya seperti biasa. Tempoh matang bukan bermakna DUN terbubar kerana segala arahan biasa yang termaktub dalam Perlembagaan telah tergantung.

Memetik Speaker Datuk Amar Asfia Awang Nassar: “ Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak, dengan jelas memperuntukkan bahawa seorang ADUN akan kekal sebagai ADUN sehinggalah Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan.

“Memandangkan perintah pengisytiharan darurat masih berkuat kuasa dan peruntukan-peruntukan pembubaran DUN telah digantung dan tidak mempunyai kesan oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, maka kesannya adalah pelantikan ADUN tidak akan tamat pada 6 Jun 2021.

“Ianya akan kekal sehingga terbubarnya DUN melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong di bawah seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat tersebut.

Dari satu sudut, semua pihak sudah boleh membuat persiapan untuk pilihan raya. Tiada kelebihan buat kerajaan kerana tempoh pelaksanaan demokrasi itu sudah dapat diagak.

Tinggalnya, semua parti politik terlibat harus bijak merancang, kerana pilihan raya kali ini pasti berbeza, dan tidak mustahil tempoh berkempen akan disingkatkan, atau ditiadakan langsung.