KUALA LUMPUR : Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang tamat perkhidmatan sebagai ketua fasilitator pada 31 Dis 2022.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan semalam.

"Kerajaan amat yakin Zulkifli berupaya merealisasikan misi ini dengan baik, berkesan dan mencapai dampak yang positif serta signifikan demi negara, berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas PAT sebelum ini," jelas beliau. 

BACA: Proses damai di Selatan Thai: Barisan Revolusi Melayu Patani mahukan jaminan keselamatan

BACA: Peristiwa Tak Bai: Perjuangan menuntut keadilan berbaki dua tahun lagi

Kerajaan juga berharap Zulkifli akan dapat memainkan peranan dengan berkesan dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan kedamaian dan keamanan di Selatan Thailand.

"Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Abdul Rahim yang telah menamatkan khidmat beliau," ujarnya.

BACA: BRN-Bangkok bincang hala tuju Perjanjian Damai Berasaskan Inisiatif Berlin 

Zulkifli dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 sebelum bersara wajib pada 2 Jan 2020.

Beliau merupakan anak kelahiran Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang), Perak, yang memulakan khidmatnya dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 30 Jan 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.